Coretan

Nyaris Ditipu Oleh Nenek dan Wanita ‘Scammer’

Sedang saya berehat di rumah tiba-tiba terima satu panggilan dari seorang nenek mesra dengan panggilan Ah Soh merayu bantuan kewangan kerana anaknya sedang terlantar sakit di Institut Kanser Negara (IKN).

Menurut Ah Soh tersebut, anaknya mengidap kanser tahap 4 dan perlukan wang tunai sebanyak RM2,000 malah berjanji akan membayar semula kepada saya dengan kadar bunga sebanyak 5%.

Saya memang percaya dengan cerita Ah Soh tersebut apabila memberitahu anaknya sudah nazak dan doktor suruh bawa balik ke rumah namun, dia tidak mampu menjelaskan bil IKN.

Hati saya sangat sedih dan pilu mendengar kisahnya namun, terpaksa tidur awal untuk berehat kerana kesakitan yang dialami.

Pada keesokan harinya, awal pagi lagi saya bertolak untuk melawat anak Ah Soh yang terlantar di IKN serta mahu menyerahkan wang tunai kepadanya tanpa perlu bayar balik.

Ketika dalam perjalanan, saya menghubunginya namun, Ah Soh tersebut memberitahu bahawa anaknya sudah keluar dari wad.

Seterusnya saya minta alamat rumah Ah Soh namun dia memberitahu secara umum bahawa dia tinggal di Ulu Ampang tanpa memberikan alamat penuh kediamannya.

Terus terdetik didalam hati bahawa saya sudah ditipu bulat-bulat oleh Ah Soh ‘scammer’ tersebut.

Saya tidak mudah memberi wang tunai dan akan membuat tapisan seketat-ketatnya kerana dunia sekarang penuh dengan penipuan.

Teringat saya akan kejadian yang berlaku sebelum ini apabila seorang gadis Melayu mohon wang tunai sebanyak RM800 untuk membiayai kos perubatan.

Gadis berkenaan menangis teresak-esak ketika bercakap dengan saya menerusi telefon dan memberitahu bahawa tunangnya kini sakit terlantar di Pasir Mas, Kelantan.

Saya turut berasa sedih pada ketika itu dan meminta alamat penuh kediamannya untuk disalurkan Ketua Balai Polis (OCS) berdekatan supaya pihak polis dapat melawat tunangnya di sana.

Akhirnya panggilan tersebut tamat begitu sahaja tanpa mendapat alamat kediamannya.

Banyak kes penipuan sebegini telah saya hadapi dan si penipu pula menangis mengalahkan berlakon dalam drama Bollywood.

Saya merayu kepada anda semua, jangalah cuba menipu kerana saya akan memohon kerjasama dengan pihak polis untuk melawat anda.

Setiap pelusuk negara kita ada anggota polis yang sudi menghulurkan bantuan kepada anda jika perlu.

Ingatlah, setiap kubur ada nombor lotnya inikan pula kita sebagai manusia sudah pasti ada alamat kediaman melainkan tinggal di kawasan pedalaman.

Bila sebut pedalaman teringat dulu saya pun bermastautin di kawasan tersebut dan kami tumpang alamat saudara-mara bagi urusan surat menyurat.

Ini kerana tempat tinggal kami merupakan rumah kongsi dalam estet yang jauh dan terpencil.

Sehinggakan posmen pun tidak berani masuk menghantar surat kerana bukan bimbang di kejar anjing sebaliknya takut disondol babi hutan atau dibaham harimau paling tidak dikejar hantu.

Bayangkan kediaman saya pula tidak jauh dengan perkubur Islam, jadi kami sudah biasa bermain di kawasan kubur sejak kecil.

Hantu yang ada di kawasan kubur itu pun sudah tua dan mati semuanya apa yang tinggal kini hantu muda serta kemungkinan tidak kenal dengan kami.

Nasihat saya kepada nenek dan gadis melayu ‘scammer’, bahawa drama air mata kamu boleh masuk pencalonan anugerah Oscar sebagai pelakon nenek dan pelakon gadis terbaik.

Lagi paparan

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Pilihan pembaca
Close
Back to top button