Rabu, 29 November 2023
Oleh: Izzatie Rizan
Guna trak sebar ilmu CPR
PUCHONG: “Banyak kali kes, ketika ambulans kami sampai…mangsa tidak dibantu, waris mahupun orang sekeliling hanya menjerit meminta pertolongan,” dedah Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang kepada Buletin TV3.
Semuanya, gara-gara tiada kemahiran asas bantuan kecemasan Resusitasi kardiopulmonari (CPR), sedangkan 10 minit terawal membantu mangsa adalah sangat berharga.
Menyedari pentingnya pertolongan cemas itu, Pertubuhan Amal Uncle Kentang tampil mengajar secara percuma cara melakukan CPR.
Jelasnya, trak berkenaan akan dikendalikan sekumpulan tenaga terlatih yang akan melakukan kaedah awal menyelamat.
Trak yang beroperasi tiga kali seminggu itu akan melakukan siri jelajah di sekitar Puchong serta Subang.
Sementara itu, Pengurus Projek Trak CPR, Sashitharan berkata tindakan pantas melakukan CPR mampu meningkatkan kebarangkalian mangsa untuk hidup antara 50 hingga 70 peratus.
“Kami harap dengan adanya pendedahan mengenai CPR ini, sesiapa sahaja sekiranya berdepan situasi cemas boleh melakukan langkah menyelamat…tak perlu lagi tunggu ambulans sampai. Kita boleh membantu menyelamatkan mangsa. langkah awal ini sangat perlu,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pakar Perubatan Kecemasan Hospital Colombia Asia Cheras, Dr.Tai Woon Ting mendedahkan tahap kesedaran rakyat negara ini untuk mempelajari CPR masih rendah.
Kebanyakan mangsa yang tiba di Unit Kecemasan tidak mendapat bantuan awal dan menggagalkan tugas menyelamat.
“Inilah situasi yang sering berlaku di kecemasan, kebanyakan kes memang tak dapat bantuan awal (CPR).
”Rata-rata pesakit yang datang dalam keadaan yang kita panggil ‘Brought In Death’, iaitu pesakit dah tak ada pernafasan dan degupan jantung. Walaupun kami lakukan CPR, semuanya sudah terlambat sebab degupan jantung itu sangat rendah,” ujarnya.
Tegas beliau, sudah tiba masanya komuniti cakna kepentingan pertolongan cemas dengan sekurang-kurangnya seorang dalam setiap keluarga perlu mempunyai kemahiran berkenaan.