Kuasa Netizen Bantu Uncle Kentang Miliki Ambulans Rakyat Secara Tunai
Bermula 20 Jun 2020 yang lalu aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng (Uncle Kentang), memulakan kempen mengumpul dana bagi membeli ambulans ke-8 yang baharu.
Ianya bermula dengan satu hantaran di Facebook miliknya yang memohon sumbangan sebanyak RM20 setiap seorang bagi membeli sebuah lagi ambulans untuk membantu mereka sedang sakit terlantar pada jam 6.43 pagi.
Sekali lagi status dimuat naik pada jam 10 pagi dengan menyatakan bahawa kutipan dana hasil sumbangan orang ramai telah mencecah RM15,570.
Selepas tiga jam kemudian , Uncle Kentang membuat satu lagi hantaran di Facebook miliknya bahawa RM24,796 telah berjaya dikumpul dengan mensasarkan RM150,000 bagi membeli ambulans baharu.
Aktivis masyarakat itu terus membuat hantaran berikutnya dengan menyeru orang ramai agar turut menyumbang seorang RM20 bagi mendapatkan ambulans ke-8 itu.
Hampir jam 8 malam, Uncle Kentang memaklumkan bahawa jumlah kutipan telah mencecah RM34,187 adalah hasil derma dan sumbangan pengikut Facebooknya.
Jumlah kutipan seawal jam 10 malam telah mencecah RM37,000 dan sekaligus membuktikan bahawa ramai penyumbang diluar sana turut memberi sokongan usaha murni aktivis masyarakat ini.
Pada hari kedua, Uncle Kentang telah memaklumkan bahawa sejumlah RM49,000 telah diperoleh dan beliau telah mengucapkan terima kasih kepada penyumbang kerana bantu mereka sakit terlantar.
RM51,814 telah di kutip untuk beli ambulans baharu, demikianlah satu hantaran dalam Facebook milik Uncle Kentang.
Malah beliau turut memaklumkan bahawa tabung kutipan bagi mengumpul dana tersebut masih berjalan.
Seterusnya pada sebelah malamnya Uncle Kentang memberitahu bahawa jumlah kutipan setakat jam 8 malam telah mencecah RM57,000 dan memerlukan sebanyak RM93,000 bagi memiliki ambulans baharu.
Jam 10.55 malam, aktivis masyarakat itu memuat naik satu lagi status menjelaskan bahawa hasil kutipan pada hari itu telah mencecah RM61,000.
Sumbangan orang ramai itu masih berterusan dan semakin tular dikalangan pengikut Facebook Kuan Chee heng.
Hari ketiga Uncle Kentang telah memberitahu bahawa jumlah kutipan sebanyak RM76,000 telah berjaya diperoleh serta menerima sejumlah wang tunai sebanyak RM2,000 telah didermakan oleh seorang wanita yang berjumpa dengannya pada petang itu.
Sekaligus ini menjadikan jumlah kutipan dana tersebut telah mencecah RM78,000 dan memberikan sinar baru bagi memiliki ambulans ke-8.
Seterusnya pada jam 11.55 pagi, Uncle Kentang telah mengemaskini status dengan menyatakan bahawa RM46,000 lagi diperlukan bagi mencapai sasaran kutipan RM150,000.
Hasil sumbangan orang ramai telah mencecah RM104,000 dan usaha bagi memiliki ambulan ke-8 kini semakin hampir dan menjadi nyata.
Selang 3 jam kemudian sejumlah RM115,000 telah dikumpulkan dan hanya RM35,000 lagi diperlukan bagi mencapai impian bagi mendapatkan ambulans baharu tersebut.
Pada jam 4.55 petang, Uncle Kentang telah memberitahu bahawa kutipan masih kurang lagi RM23,000 bagi mendapatkan jumlah sebanyak RM150,000.
RM20 hasil derma seorang dapat membantu mereka yang sakit terlantar serta tidak mampu membayar sewa ambulans.
Dalam masa sama, aktivis masyarakat itu telah mengunjungi sebuah ruang pamer kenderaan bagi melihat sendiri sebuah van yang bakal dibeli nanti.
Pada jam 10.40 malam, kutipan kini menghampiri RM140,000 dan hanya perlukan RM10,000 sahaja lagi bagi mendapatkan sejumlah RM150,000.
Impian memiliki ambulans hasil sumbangan orang ramai kini menjadi nyata.
Sumbangan RM20 seorang bukan hanya omong-omong kosong tetapi ianya adalah satu kenyataan dan bakal menjadi nyata.
Pada hari keempat, satu hantaran di Facebook milik Kuan Chee Heng, beliau memaklumkan bahawa jumlah kutipan telah mencukupi.
Seawal jam 4.00 pagi, beliau telah memeriksa akaun banknya dan apabila melihat baki tersebut Uncle Kentang hampir menangis.
Beliau tidak menyangka bahawa sejumlah RM150,000 berjaya dikumpul dalam tempoh 4 hari sahaja.
Uncle Kentang mengucapkan tahniah kepada seluruh rakyat Malaysia kerana berjaya merealisasikan impian mereka yang sakit terlantar untuk memiliki ambulans ke-8.
Ucapan terima kasih kepada semua penyumbang kini ambulans boleh dibeli secara tunai dan memudahkan mereka yang sakit terlantar.