RM1 Juta Ringankan Beban Mangsa Kebakaran Kampung Baru, Karak

Hasil sumbangan orang ramai melalui kentangfund.com bagi membantu mangsa kebakaran Kampung Baru, Karak, Pahang ternyata mendapat perhatian rakyat Malaysia.
Hanya dalam tempoh 8 hari, sebanyak RM1 juta berjaya dikumpul sekaligus ianya membuktikan bahawa rakyat Malaysia benar-benar prihatin dan bersimpati dengan nasib yang menimpa mangsa kebakaran.
Penyerahan cek pertama menerusi JKKK Kampung Baru Karak diserahkan sendiri oleh aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng (Uncle Kentang) sebanyak RM500k disusuli cek kedua sebanyak RM400k dan seterusnya RM100k menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan adalah sebanyak RM1 juta.
Menurut Uncle Kentang cek sumbangan yang diberikan merupakan sumbangan rakyat Malaysia dan dirinya hanyalah sebagai wakil untuk menyerahkan cek tersebut.
Hasil kutipan sebanyak RM1 juta menerusi platform kentangfund.com diberikan 100% kepada mangsa kebakaran tanpa mengenakan sebarang caj.
Malah pembayaran setiap transaksi kepada “payment gateway” juga ditanggung oleh Pertubuhan Amal Uncle Kentang Malaysia.
Uncle Kentang juga menyatakan bahawa dengan sumbangan tersebut ianya tidak dapat mengembalikan apa yang telah hilang namun sebaliknya ia dapat meringankan beban mereka.