Sukan

Sze Fei-Nur Izzuddin Cipta SensasiJuarai Terbuka China

Pasangan beregu lelaki negara, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Rumsani, mencipta sejarah tersendiri apabila menjuarai kejohanan bertaraf Jelajah Dunia Super 1000, Terbuka China, selepas menewaskan pasangan tuan rumah di pentas akhir hari ini.

Kejayaan ini merupakan pencapaian terbesar dalam karier mereka setakat ini, selepas baru-baru ini muncul juara di Terbuka Jepun, bulan lalu.

Dalam aksi final, gandingan nombor 12 dunia ini yang juga pilihan ketujuh kejohanan, berdepan tentangan sengit daripada pasangan China, He Ji Ting-Ren Xiang Yu. Mereka tewas 13-21 pada set pertama, namun bangkit dengan cemerlang mencatat kemenangan 21-12, 21-17 dalam dua set berikutnya, sekali gus menoktahkan kemenangan bersejarah itu.

Sebagai juara Terbuka China, Sze Fei-Nur Izzuddin membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah AS$148,000 (RM622,361), manakala pasangan China, Ji Ting-Xiang Yu, meraih AS$70,000 (RM294,360).

Kejayaan ini juga menyaksikan Sze Fei-Nur Izzuddin menjadi beregu lelaki kedua dari Malaysia yang menjuarai Terbuka China, selepas pasangan legenda, Datuk Seri Jalani Sidek-Datuk Razif Sidek, melakukannya pada tahun 1989.

Sebagai rekod, pasangan ini telah membuat permohonan kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk bergerak secara profesional, bermula 1 September lalu, dan kini mencatat sejarah sebagai juara dalam arena profesional.

–BERNAMA

Sumber
Gambar : gohszefe
Lagi paparan

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button