Berita

NGO Prihatin Hadiahkan Ambulans Lengkap Peralatan – Inisiatif Tiffin Kasih Dilancar Serentak

Puchong, 17 Mei 2025 – Sebuah ambulans baharu telah disumbangkan oleh NGO prihatin, Richestlife, kepada pasukan perkhidmatan kecemasan kami bagi menggantikan unit lama yang telah lama berkhidmat. Pelancaran ini disempurnakan bersama wakil penyumbang, Encik Kevin, sebagai lambang keprihatinan terhadap nasib pesakit yang kurang berkemampuan.

Ambulans ini lengkap dengan peralatan perubatan moden dan akan digunakan bagi mempertingkatkan mutu perkhidmatan ambulans percuma, khasnya untuk golongan miskin, warga emas, pesakit kronik, dan mereka yang tinggal di kawasan pedalaman.

Aktivis kemanusiaan, Uncle Kentang, berkata:

“Ramai sangat pesakit yang datang kepada kami, tak kira tua atau muda, tak mampu nak bayar ambulans pun ada. Sebab itu kami usaha cari jalan – supaya mereka boleh dibawa ke hospital secara percuma, tanpa beban. Hari ni, dengan sumbangan ambulans baharu daripada Richestlife, kita dapat bantu lebih ramai lagi.”

Dalam majlis yang sama, turut dilancarkan inisiatif terbaru bernama “Tiffin Kasih”, iaitu bantuan makanan harian kepada pesakit yang tidak berkemampuan, termasuk mereka yang sedang menjalani rawatan kanser.

“Kita juga lancarkan inisiatif Tiffin Kasih – makanan harian untuk mereka yang sakit, dan miskin. Ramai pesakit kanser, ibu tunggal, warga emas… semua ni perlu bantuan. Kita tak boleh tunggu kerajaan, kita kena jalan dulu. Kalau kita tak bantu mereka, siapa lagi?” tambah Uncle Kentang.

Pihak kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada Richestlife atas sumbangan penuh makna ini dan menyeru lebih ramai pihak tampil membantu usaha murni ini demi kesejahteraan masyarakat.

Lagi paparan

Artikel berkaitan

Back to top button