PUCHONG INDAH – Akademi Bola Sepak Uncle Kentang (UKFA) telah menganjur latihan pertamanya di Padang Bola Sepak, Puchong Indah bersama anak-anak di sekitar Puchong, Selangor baru-baru ini.
Kehadiran para pemain amat memberangsangkan dan diluar jangkaan apabila lebih 15 orang kanak-kanak dan remaja turut hadir bagi mengikuti latihan tersebut.
UKFA dibimbing oleh jurulatih berpengalaman iaitu Albert Chung yang sama-sama turut menyumbang tenaga bagi menjayakan latihan tersebut. Rata-rata kelihatan para pemain sangat gembira dengan latihan yang diberikan serta menunjukkan minat mendalam.
Pengasas UKFA, Kuan Chee Heng berkata, dia berasa gembira dengan kehadiran dan sambutan para pemain yang terdiri dari kalangan anak-anak di Puchong.
“Permulaan UKFA amat baik sekali apabila ramai ibu bapa mula menghubungi saya untuk menghantar anak-anak mereka menjalani latihan bola sepak di sini.
“Saya amat mengalu-alukan kedatangan anak-anak di Puchong untuk menjalani latihan secara percuma dibawah bimbingan jurulatih professional,” katanya
Latihan adalah percuma malah bagi mereka yang tinggal berdekatan Puchong Utama dan sekitarnya malah pihak UKFA turut menyediakan perkhidmatan van untuk mengambil dan menghantar para pemain.
Menurutnya lagi, UKFA kini juga telah menerima beberapa tajaan dari syarikat-syarikat korporat bagi menjayakan akademi yang baharu sahaja ditubuhkan.
“Saya amat mengalu-alukan sama ada pihak individu atau syarikat untuk sama-sama menyumbang bagi menjayakan akademi ini.
“Jika ada yang berminat untuk menyumbang dan menyertai UKFA, mereka boleh hubungi saya ditalian 018 2683 999,” katanya lagi.
Latihan yang bermula seawal jam 4 petang berakhir pada 6 petang bagi memberi ruang kepada anak-anak yang beragama Islam untuk menunaikan solat Asar.