Ras Adiba Radzi dan Uncle Kentang Bantu 100 Penduduk Apartment Puchong Permai

100 penduduk apartment Puchong Permai boleh menghembuskan nafas lega apabila Ras Adiba Radzi dan Kuan Chee Heng (Uncle Kentang) memberi sumbangan barang dapur dan pek makanan tengahari, semalam.
Sumbangan tersebut bertujuan untuk meringankan beban penduduk akibat Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang telah diumumkan oleh kerajaan akibat penularan wabak Covid-19 di Malaysia.
Rata-rata penerima bantuan melafazkan rasa syukur kerana barang keperluan memasak telah kehabisan di rumah mereka.
Personaliti tanah air, Ras Adiba Radzi berkata beliau menghubungi Uncle Kentang dan memaklumkan bahawa ada sumbangan untuk 100 orang di Puchong serta perlukan bantuan beliau untuk membuat agihan tersebut.
“Bantuan yang diberi merupakan barangan keperluan asas dapur seperti pek makanan tengahari, beras, minyak masak, gula, telur dan sebagainya.
“Usaha ini akan diteruskan dari masa ke semasa bagi membantu golongan asnaf agar dapat meringankan beban mereka disepanjang PKPD ini,” katanya ketika ditemubual.
Tambahnya lagi, bantuan yang diberikan tidak hanya tertumpu di Puchong sahaja namun di kawasan lain seperti Gombak, Ampang, Damansara dan lain-lain juga turut mendapat agihan sumbangan.