Ibu Patah Kaki, Pecah Pipi Berjaya Bawa 4 Anak Pulang Ke Kampung… Derita 13 Tahun Berakhir – “Suami Angkat Tangan, Kamu Blah Terus”
Nama Uncle Kentang sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi.
Bukan seorang jutawan atau ahli politik, tetapi lelaki ini dikenali dan menjadi sebutan ramai kerana sering menghulurkanbantuan tanpa mengira bangsa dan agama.
Laman Facebooknya, Kuan Chee Heng ini tidak pernah ‘sunyi’ dengan kemas kini aktiviti kebajikan bermula dari terbit fajar sehingga terbenam matahari.
Mempunyai beberapa buah ambulans dan van jenazah yang dibeli hasil sumbangan orang ramai, dia sering dihubungi oleh golongan yang kurang berkemampuan untuk membantu dalam urusan penghantaran jenazah terutamanya melibatkan jarak yang jauh.
Namun menerusi perkongsian di Facebook baru-baru ini, Uncle Kentang tidak menghantar jenazah sebaliknya diminta untuk membantu urusan penghantaran seorang wanita dan anak-anaknya yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga selama 13 tahun pulang ke kampung halamannya.
“Wanita Melayu sudah dipukul sejak dari umur 26 tahun sehingga kini 40 tahun mohon bantuan untuk lari daripada seksaan.
Kali ini kaki patah dan pipi pecah.
“Suami sudah ditangkap polis. Kini mohon bantuan lori (sewa) dari Selangor ke Pulau Pinang dan kedua, pemandu untuk bawa kereta ke Pulau Pinang.
Beliau tak boleh memandu kepada kaki patah.
“Jom kita sumbang dan selamatkan wanita dan anak-anak ini. RM1,200 diperlukan,” tulisnya dalam satu perkongsian yang dimuatnaik olehnya.
Tidak sampai beberapa jam membuat perkongsian tersebut, Uncle Kentang membuat kemas kini kedua memaklumkan bahawa jumlah sumbangan yang diperlukan untuk membantu wanita malang berkenaan sudah mencukupi.
“Terima kasih Malaysia. Esok pagi (Ahad) wanita patah kaki dan pecah pipi serta empat anak yang dipukul selama 13 tahun akan pulang ke kampung,” tulisnya lagi.
Terkesan dengan penderitaan yang dialami oleh wanita malang tersebut, Uncle Kentang menasihati mana-mana wanita yang berada dalam situasi yang sama agar bangkit dan mempertahankan hak sendiri agar tidak selama-lamanya dianggap hamba abdi.
“Saya pernah jumpa satu wanita yang dipukul oleh suami sehingga menjadi Orang Kelainan Upaya (OKU). Terlantar seumur hidup kerana tulang belakang retak.
“Tuduhan dilakukan ke atas suami beliau tetapi hukuman penjara tak akan sihatkan wanita terlantar tersebut.
Wanita, bila suami kamu angkat tangan, kamu blah terus. Jangan kau tunggu lagi untuk bertukar status OKU terlantar baru kamu nak cerai dan lari,” tulisnya.
Dalam masa yang sama, Uncle Kentang turut membidas sikap segelintir lelaki yang bukan saja tidak pandai menghargai pengorbanan isteri malah melayan isteri sendiri ibarat hamba abdi.
“Wanita berpeluh membuat kerja rumah, menjaga anak, masak, membasuh, bersihkan anak anak, pastikan anak membaca kitab dan buat homework, prepare bekalan anak ke sekolah, cuci seluar dalam kau lelaki… bila peluh itu jadi busuk…minyak wangi perempuan lain jadi buruan kamu dan cumbuan kamu.
“Ku ucapkan jutaan terima kasih kepada jasa kamu wanita… bukan mudah jadi wanita.
Lelaki yang panas baran… kamu harus bertaubat sebelum terlambat… silap-silap isteri kamu mati dipukul, kamu akan dihukum mati.
“Wanita, ayuh angkat kaki. Tinggalkan lelaki si durjana yang angkat tangan pukul kamu.
Kamu dilahirkan ke dunia bukan untuk dipukul, kamu dilahirkan ke dunia untuk disayangi dan dihormati oleh kami kaum lelaki,” tulisnya.
Perkongsian tersebut sehingga kini meraih 343 shares dan mengundang ratusan komen netizen.