Berita

Kumpul Dana Beli Van Jenazah Baharu Cuma 24 Jam

Sekali lagi sejarah tercipta oleh penderma-penderma yang menyalurkan sumbangan bagi membeli van jenazah baharu dalam tempoh 24 jam melalui laman Facebook Kuan Chee Heng (Uncle Kentang), hari ini.

Melalui siaran live di Facebook milik Uncle Kentang sekitar jam 5.00 petang di Masjid Jamek Tanjong Rambutan, Perak menunjukkan keadaan van jenazah yang sedia ada sudah usang dan memerlukan kos agak tinggi bagi membaikinya semula.

Beberapa jam selepas itu, pada 17 Mac sekitar jam 10.50 malam Uncle Kentang kemudiannya memuat naik satu status berkenaan van jenazah Masjid Jamek Tanjong Rambutan yang sudah berusia lebih 25 tahun dan perlu digantikan segera.

Pada status berkenaan Uncle Kentang turut menyatakan bahawa beliau cuma memerlukan sumbangan lebih kurang 13,000 orang dengan kutipan sebanyak RM10 seorang dengan jumlah RM130,000 bagi merealisasikan impian Masjid Jamek Tanjong Rambutan memiliki van jenazah baharu.

Keesokkannya pada 18 Mac seawal jam 5.29 pagi Uncle Kentang telah memuat naik satu status bahawa dana kutipan membeli van jenazah baharu telah mencecah RM2241.

Kutipan dana telah mencapai sebanyak RM22,000 melalui sumbangan di kentangfund.com dan akaun peribadi Uncle Kentang pada 18 Mac sekitar jam 12.33 tengah hari.

Jam 4.10 petang, Uncle Kentang memberitahu bahawa jumlah kutipan keseluruhan bagi membeli van jenazah untuk Masjid Jamek Tanjong Rambutan telah meningkat sebanyak RM53,000.

Sekitar jam 5.40 petang, sekali lagi Uncle Kentang mengumumkan jumlah kutipan telah mencecah RM65,000 dan perlukan sebanyak 50% sahaja lagi untuk mencapai sasaran sebanyak RM130,000.

Hasil sumbangan orang ramai semakin meningkat dan telah mendapat kutipan sebanyak RM80,000 pada jam 7.55 petang di kentangfund.com serta melalui akaun CIMB Uncle Kentang.

Sekali lagi Uncle Kentang membuat pengumuman di Facebook miliknya apabila sumbangan orang ramai telah mencecah RM100,000 dan cuma perlukan lagi RM30,000 bagi merealisasikan impian Masjid Jamek Tanjong Rambutan memiliki van jenazah baharu.

Hari ini seawal jam 6.46 pagi, Uncle Kentang telah memberitahu bahawa dana untuk membelikan van jenazah baharu untuk Masjid Jamek Tanjong Rambutan, Perak telah mencapai sasaran.

Secara peribadi, Uncle Kentang memberitahu bahawa beliau sebak dan terharu dengan kesungguhan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum serta agama telah merealisasikan impian Masjid Jamek Tanjong Rambutan untuk memiliki van jenazah baharu.

Amanah yang diberikan oleh rakyat Malaysia kepada Uncle Kentang akan digalas sebaiknya dan terus dipikul sehingga selesai.

Permuafakatan rakyat Malaysia sangat tinggi dan ikhlas serta inilah kekuatan kita Melayu, Cina, India, Singh dan semuanya telah menghulurkan sumbangan walaupun untuk van jenazah.

Lagi paparan

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Pilihan pembaca
Close
Back to top button