Ops Pacak Payung Ringankan Beban Keluarga Terjejas Akibat PKP 3.0
Keluarga atau individu yang terjejas pendapatan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 tidak perlu bimbang kerana aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng (Uncle Kentang) akan melancarkan Ops Pacak Payung bagi membantu meringankan beban yang ditanggung oleh mereka.
Dalam satu hantaran di facebook milik Uncle Kentang, beliau mengatakan bahawa akan turut menggajikan mereka untuk memastikan Ops Pacak Payung ini berjalan dengan lancar bagi memastikan keluarga yang benar-benar terjejas menerima bantuan sewajarnya.
Menurut Uncle Kentang, usahasama yang dilakukan bersama Persatuan Kepolisan Komuniti Malaysia Kepong ini akan beroperasi di Program Perumahan Rakyat (PPR) kotaraya Kuala Lumpur kerana ramai dari kalangan mereka ini terjejas akibat PKP 3.0.
Bantuan yang akan disalurkan kepada keluarga terjejas merupakan bahan asas makanan bagi memastikan agar tiada lagi terpaksa berlapar akibat hilang punca pendapatan.
Uncle Kentang turut akan berhubung bersama ketua blok atau ketua penduduk bagi menyalurkan bantuan.