ASUS Zenfone 8 – Telefon “flagship” Android paling comel

Jika anda ingin membeli sebuah telefon pintar Android kategori andalan (flagship) pada tahun ini, hampir kesemua pilihan anda terdiri daripada telefon dengan saiz skrin sekitar 6.5 inci dan ke atas, jauh berbeza dengan saiz 5 inci yang pernah menjadi trend telefon beberapa tahun lalu. Anda tidak mempunyai pilihan langsung jika anda inginkan telefon andalan Android dengan skrin yang lebih kompak, melainkan iPhone 12 mini jika anda sanggup gunakan iOS.
Jadi inilah yang membuatkan telefon andalan ASUS Zenfone 8 sangat menarik berbanding telefon-telefon setaraf di pasaran. Selain dilengkapi spesifikasi tercanggih seperti cipset Snapdragon 888, ia dilengkapi saiz skrin yang dianggap kecil untuk standard terkini iaitu sekadar 5.9 inci sahaja. Jadi adakah telefon unik ini layak menjadi telefon anda seterusnya? Ayuh ketahuinya dalam ulasan kami di bawah:
Rekaan – Telefon kecil dengan binaan kukuh
Sebaik sahaja anda memegang telefon ini, anda boleh merasakan saiznya yang lebih kecil berbanding majoriti telefon pintar terkini. Dengan saiz skrin 5.9 inci, ketebalan 8.9mm dan berat 169 gram, telefon ini memang sangat mudah dipegang dengan satu tangan dan ibu jari juga boleh mencapai seluruh kawasan skrin dengan lebih mudah.
Di belakang, telefon ini mempunyai rekaan yang agak generik kerana ia langsung tidak mempunyai ciri-ciri yang membuatkannya nampak unik dengan telefon lain. Warna yang kami dapat adalah perak Horizon Silver dengan sudahan pusam (matte) berkilauan jadi ia tidak akan meninggalkan kesan cap jari. Jika anda inginkan telefon dengan rekaan belakang yang anggun menawan, Zenfone 8 bukan telefon untuk anda.
Bonggol kamera pula berada di bahagian atas kiri dan ia tidaklah terlalu tebal seperti kamera dalam sesetengah telefon andalan lain. ASUS juga tidak meletakkan sebarang logo di bahagian belakang, sebaliknya sekadar meninggalkan teks biasa “ASUS Zenfone” dalam warna putih yang hampir sama dengan warna perak telefon ini, membuatkannya sukar dibaca. Penjenamaan yang halus serta rekaan generik pasti akan digemari oleh mereka yang mengutamakan gajet low-profile.
Sunguhpun rekaannya tidak begitu menarik, mutu binaannya masih terasa kukuh. Badan belakangnya dibuat dengan Gorilla Glass 3 manakala skrin hadapan pula dibuat dengan Gorilla Glass Victus iaitu kaca telefon Corning yang paling kukuh dan tahan calar setakat ini. Bahagian sisi telefon ini dibuat daripada aluminium dan jika dipegang dari belakang, sisinya mempunyai lengkuk sedikit. Walau bagaimanapun, skrinnya adalah rata sahaja tanpa sebarang lekuk di bahagian sisi.
Pada sisi kanan, terdapat butang kawalan suara dan butang suis berwarna biru dan boleh ditetapkan untuk pelbagai jenis fungsi, manakala pada sisi atas pula terdapat bicu audio 3.5mm yang jarang sekali terdapat dalam telefon andalan pada tahun ini. Di bawah, terdapat ruang untuk dwi-kad SIM, port USB-C, lampu pemberitahuan LED dan pembesar suara. Malang sekali, telefon ini tidak menyokong tambahan memori melalui kad microSD.
Spesifikasi – Setaraf dengan flagship Android lain
Jangan tertipu dengan saiznya yang kecil kerana telefon ini boleh berdiri sebaris dengan telefon-telefon andalan Android daripada jenama-jenama lain. Berikut adalah spesifikasi penuh untuk ASUS Zenfone 8:
- Skrin 5.9 inci Samsung AMOLED FHD+, nisbah aspek 20:9
- Kadar segar semula 120Hz, kadar respons 1ms, kadar bacan sentuhan 240Hz, kecerahan 1100 nits
- Pertahanan kaca Gorilla Glass Victus
- Sensor cap jari dalam skrin jenis optikal
- Cipset Snapdragon 888 5G 5nm, Adreno GPU 660
- RAM 8GB / 16GB LPDDR5 + storan 128GB / 256GB UFS 3.1
- Bateri 4,000mAh dengan pengecasan pantas 30W
- Sokong Wi-Fi 6E, Bluetooth 5.2, NFC
- Kamera utama 64MP Sony IMX686 f/1.8 OIS + kamera ultra lebar 12MP f/2.2
- Kamera swafoto 12MP f/2.5
- Kebolehan rekod video sehingga 8K 30fps
- Dimensi : 148 x 68.5 x 8.9mm, Berat : 169g
- Antara muka ZenUI 8 atas perisian Android 11
- Pilihan warna Obsidian Black, Horizon Silver
- Ciri kalis air dan debu IP68
Skrin AMOLED 5.8 inci pada telefon ini menyokong kadar segar semula sehingga 120Hz, jadi anda boleh jangkakan penghasilan warna yang cantik serta pengalaman penggunaan yang lancar. Anda boleh tetapkan jika anda mahukan kadar 120Hz pada setiap masa atau biarkan Zenfone 8 menetapkan kadar secara automatik bagi menjimatkan bateri. Keterangan sehingga 1100 nits juga bermaksud skrin telefon ini masih boleh digunakan walaupun di bawah cahaya matahari terik.