Berita

Anak Bakal Pulang Menemui Pencipta, Kami Tak Dapat Tahan Sebak

Sememangnya tidak disangka panggilan yang diterima kali ini bagi menghantar seorang pesakit kanak-kanak berusia 4 tahun ke Gemas.

Doktor telah mengesahkan bahawa kanak-kanak tersebut mengidap penyakit leukemia tahap 4 dan ibunya mohon untuk bawa anaknya pulang ke kampung buat kali terakhir.

Saya mengambil kanak-kanak tersebut dari Hospital Besar Kuala Lumpur dan sepanjang perjalanan ke Gemas, kami terpaksa menahan sebak melihat si ibu menangis sambil memegang erat tangan anaknya.

Hampir 3 jam perjalan dari HKL ke Gemas dan akhirnya kami pun tiba di kediaman mereka.

Dengan perlahan-lahan ‘stretcher’ dari ambulans diturunkan dan disorongkan ke rumahnya.

Ketika melangkahkan kaki ke dalam rumah tersebut, kelihatan ahli keluarga sudah menunggu kepulangan anak tersebut.

Kami mengangkat tubuh anak kecil yang tidak bermaya itu dari ‘stretcher’ dan pindahkan ke tilamnya dengan berhati-hati.

Si ibu memegang erat tangan anaknya dan memandang kami dengan hiba sekali.

Si ayah mengusap-usap kaki anaknya sambil menahan air matanya.

Saya tidak mampu berkata apa ketika itu lantas saya memeluk si ayah dan berbisik kepadanya agar bersabar dan reda dengan takdir Ilahi.

Air mata saya akhirnya tumpah dan mengalir di pipi kini tak dapat dibendung lagi.

Ketika dalam pelukkan itu saya tidak kisah saya Cina, tidak kisah saya tua kerana saya juga manusia biasa.

Saya tahu mereka dalam keperitan terpaksa melepaskan anak kecil kesayangan menghadap Ilahi.

Memang mudah ungkapkan kata tawakal dan sabar, namun kita ini hanyalah insan yang lemah apatah lagi mereka terpaksa melepaskan anak tersayang menemui pencipta-Nya.

Saya terus memberikan kata-kata positif kepada si ayah serta menyatakan bahawa saya sedia membantu sekiranya mereka perlukan apa-apa dari saya.

Misi kami bukanlah misi biasa, sebaliknya kekuatan mental dan emosi juga perlu kerana kami sering berhadapan dengan situasi begini.

Sama-samalah kita doakan agar si anak ini, dipermudahkan segala urusannya.

Lagi paparan

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Pilihan pembaca
Close
Back to top button