Lebih 100 Keluarga Daftar Sebagai Penerima Bantuan Bulanan
Pasar RM1 merupakan salah satu inisiatif yang dilaksanakan oleh aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng atau lebih dikenali dengan panggilan Uncle Kentang bagi membantu mereka yang susah agar dapat membeli barangan keperluan RM1 di sini.
Usaha ini mendapat sambutan baik oleh masyarakat setempat apabila ramai masyarakat setempat mula memberikan reaksi positif berkenaan pasar RM1 berkenaan yang telah diadakan di stesyen LRT Taman Perindustrian Puchong, semalam.
Banyak barangan lain seperti pakaian, perabot, barangan makanan dan lain-lain boleh dibeli dengan harga RM1 bagi setiap barangan.
Malah lebih memberangsangkan apabila kaunter pendaftaran kad VIP bagi penerima bantuan makanan bulanan turut dibuka bagi membantu mereka yang terjejas punca pendapatan.
Pemegang kad VIP juga melayakkan mereka untuk membeli barangan keperluan dapur di Kedai Anda seperti minyak, telur, beras dan lain-lain dengan harga RM1 sahaja.
Selain itu, para pengunjung juga dapat menikmati sarapan berharga RM1 seperti nasi lemak, bihun goreng dan kopi panas di Kafe Anda.
Pasar RM1 yang bermula seawal jam 9.00 pagi telah berakhir sekitar jam 12.00 tengah hari.