Juara GADIS Undang Sebak, Bawa Gambar Ibu Bapa ke Pentas Ketika Terima Hadiah

Tuah ayam nampak dikaki, tuah manusia siapa yang tahu. Pepatah yang sesuai digambarkan kepada model sambilan ini.
Norzawani Zakiah Khairul Zaki, 26, telah dipilih sebagai Juara keseluruhan bagi Program Inspirasi Selangor yang telah dijalankan selama tiga hari sejak 27 Januari di Hotel Dorsett Subang di sini, hari ini.
Zakiah membawa pulang wang tunai RM5,000, sijil beserta trofi yang disampaikan oleh EXCO Pembangunan Wanita, Dr Siti Mariah Mahmud.
Ketika diberi peluang untuk berucap, Zakiah turut meminta kedua ibubapanya untuk turut bersamanya di pentas utama namun keseluruh dewan tertanya-tanya apabila hanya sekeping gambar diberikan kepadanya.
Pada ketika itulah, Zakiah memberitahu kepada seluruh dewan bahawa ibu dan bapanya telah tiada dan gambar tersebut sebagai inspirasinya untuk terus berjaya.
“Saya sangat teruja dan tidak percaya dinobatkan sebagai juara pada hari ini.
“Saya hanya menyertai program ini sekadar suka-suka dan tidak menyangka kerana peserta lain juga hebat-hebat belaka,” katanya.
Zakiah juga menunjukkan bahawa dia tidak menyerah meski baru kehilangan ibunya beberapa bulan lalu.
“Saya memang tidak mempunyai ibu bapa, tetapi saya sentiasa berusaha untuk melihat pada sisi positif setiap situasi.
“Saya mempunyai ramai keluarga dan kawan-kawan yang sangat menyokong setiap apa yang dilakukan.” ujarnya sambil menahan sebak.
Menurut Zakiah, sebelum ini dia berkongsi tentang perjalanan diri dan ibunya untuk disimpan sebagai kenangan setelah mendapat tahu ibunya menghidap kanser paru-paru tahap 4.
“Saya tidak sangka perkongsian tersebut mendapat tontonan yang tinggi di Tiktok.
“Terima kasih kepada pengikut di Tiktok yang sentiasa memberi kata-kata semangat selepas kehilangan ibunya 4 bulan lalu.
“Kemungkinan selepas ini banyak lagi perkongsian lain yang lebih menarik boleh dikongsikan bersama 24,000 pengikut di Tiktok,” ujarnya ketika ditemubual.
Dr Mariah turut menyampaikan hadiah kepada pengacara hiburan, Nur Idayu Azizi Aziz, 31, yang mendapat tempat kedua membawa hadiah wang RM3,000 manakala pelajar jurusan undang-undang, University of London, Stella Leong Sin Yin, 24, pula di tempat ketiga menerima wang tunai RM1,000.
Program Pencarian Gadis berlangsung pada 27 hingga 29 Januari lalu bertujuan untuk mencungkil bakat dan potensi wanita muda, menyediakan saluran bagi mengetengahkan diri di khalayak umum selain meningkatkan pembangunan dan kemapanan diri serta daya saing.
Syarat penyertaan ialah wanita berusia 18 tahun hingga 35 tahun, lahir dan bermastautin di Selangor serta memiliki pengikut di pelbagai media sosial dengan jumlah minimum 5,000 orang.

