MSDeaf Rayu Tajaan Korporat dan Swasta Bagi Menjayakan Kejohanan Bola Sepak Orang Pekak Dunia 2023
Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) mengorak langkah memartabatkan sukan bagi golongan itu apabila buat julung kalinya menjadi tuan rumah Kejohanan Bola Sepak Pekak Dunia ke-4 bermula dari 23 hingga 7 Oktober 2023 dengan Malaysia sebagai tuan rumah bagi kejohanan ini.
Kejohanan kali terakhir berlangsung pada tahun 2016 di Itali dengan menobatkan Turkiye sebagai juara dunia sebelum kejohanan itu dihentikan sementara berikutan penularan wabak COVID-19.
Namun bagi menjayakan sukan yang bertaraf dunia ini, kos sebanyak RM6 juta diperlukan dan setakat ini MSDeaf telah berjaya mengumpul sebanyak RM3 juta hasil dari yuran penyertaan 34 pasukan di dunia.
Menurut Presiden MSDeaf, Ong Shi Ruenn, peruntukan besar itu bagi menampung kos penganjuran di kesemua 12 stadium yang bakal menjadi venue 34 pasukan iaitu 24 lelaki dan 10 wanita.
“Kos sebanyak RM3 juta diperlukan bagi menampung pengadil, pengangkutan dan sebagainya. MSDeaf juga tidak menerima sebarang bantuan kewangan daripada Kementerian Belia dan Sukan dan Majlis Sukan Negara.
“Oleh itu, MSDeaf merayu kepada mana-mana syarikat korporat atau swasta sudi bekerjasama bagi menjaayakan kejohanan ini. Syarikat yang sudi memberi bantuan layak mendapat pengecualian cukai,” katanya ketika ditemubual.
MSDeaf telah diberi kepercayaan oleh International Committee of Sports for the Deaf (ICSD) serta mendapat sokongan dari Deaf International Football Association (DIFA) bagi penganjuran kejohanan bertaraf dunia.