Semalam saya berjumpa dengan seorang anak terbiar berbangsa Cina berdekatan Apartment F3 Taman Puchong Indah.
Dia yang dikenali sebagai Lee sering dilihat bermain dengan anak-anak disekitar apartment di sini.
Menurut penduduk setempat, baru-baru ini Lee sering dibuli oleh beberapa orang budak nakal dan dipukul oleh mereka kerana mahukan wang darinya.
Demi keselamatan Lee, penduduk apartment F3 menghubungi saya sekiranya dapat membantu dengan memberi perlindungan kepadanya.
Selesai menghantar pesakit ke hospital saya terus bergegas ke Apartment F3 untuk bertemu dengan Lee.
Kedatangan saya disambut baik oleh beberapa orang makcik Melayu yang sedang menunggu berhampiran kedai makan berdekatan.
Mereka amat ramah dan sering memberikan makan dan minum kepada Lee sepanjang dia berada di apartment tersebut.
Menurut mereka, setiap malam Lee tidur di dobi kerana tidak mempunyai tempat penginapan.
Saya pun bertemu dengan Lee dan cuba dapatkan maklumat dan latar belakang namun tidak banyak yang diperoleh darinya.
Beberapa kenalan saya hubungi untuk mendapatkan kerja buat Lee, bersyukur kerana sahabat dari Rawang yang juga seorang usahawan ladang sedia memberikan kerja dan tempat tinggal buatnya.
Lee bersetuju untuk bekerja dan saya janji akan mengambil dia pada sebelah petang untuk berjumpa dengan usahawan tersebut di Puchong Utama.
Pada sebelah petang pasukan saya ke Apartment F3 Taman Puchong Indah untuk menjemput Lee namun dia berkeras tidak mahu ikut mereka.
Makin ramai penduduk di situ cuba memujuknya namun, jawapan dia tetap sama tidak mahu ikut.
Setelah hampir 2 jam memujuk Lee, pasukan saya pun pulang dengan hampa kerana dia telah melarikan diri entah ke mana.
Namun, pada sebelah malamnya saya terima panggilan dari Balai Polis Bukit Puchong bahawa Lee ada di balai dan meminta untuk mengambilnya di sana.
Selepas mengambil Lee di balai, terus saya bawa ke restoran mamak berdekatan untuk makan malam.
Banyak perkara yang kami bualkan dan Lee menyatakan bahawa dia berminat dalam bidang pertanian dan bercucuk tanam.
Saya akan cuba bantu Lee dan berikan perlidungan kepada dia.
Terima kasih saya ucapkan kepada penduduk Apartment F3 Taman Puchong Indah kerana mengambil berat tentang Lee, sudi bantu dengan berikan makan dan minum kepada dia walaupun berbeza bangsa.



