CP Ambulans Terima PPE Dari Briged Negaraku
Persatuan Briged Negaraku memberi sumbangan kelengkapan peralatan perlindungan diri (PPE) kepada Community Policing (CP) Ambulans yang diwakili Presiden CP Malaysia, Kuan Chee Heng (Uncle Kentang), semalam.
Presiden, Persatuan Briged Negaraku, Khairul Nizam Mohd Sopery, berkata sumbangan ini dilakukan adalah berikutan video tular Uncle Kentang yang memakai set PPE ketika membantu seorang warga emas bagi urusan cap jari di sebuah bank.
“Kami telah mengambil keputusan bahawa team CP Ambulans juga perlu untuk menerima set PPE kerana mereka berhadapan dengan risiko Covid-19 dan lebih memerlukan.
“Permulaan ini kita berikan sebanyak 50 set PPE kepada Uncle Kentang dan kami akan sentiasa berhubung dengan pihak CP Ambulans sekiranya mereka memerlukan set tambahan pada masa akan datang,” katanya ketika ditemubual.
Menurutnya lagi, PPE dan pelindung muka dibuat secara bergotong royong dengan kerjasama Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), Jabatan Penjara, banduan-banduan dan cikgu-cikgu.
Briged Negaraku yang dihadiri seramai 9 orang itu bertemu dengan Uncle Kentang bagi mendapatkan nasihat dan kata-kata semangat dalam usaha untuk melakukan kerja-kerja sukarelawan.