Maklumat Orang Ramai Selamatkan Uncle Leong Dari Rumah Usang
Hasil maklumat orang ramai yang disalurkan kepada aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng (Uncle Kentang) berkenaan seorang warga emas yang tinggal bersendirian di dalam kawasan hutan di Salak Selatan telah mendapat perhatian.
Siasatan kemudiannya dilakukan oleh Uncle Kentang bersama jurulatih, Albert Chung dengan menuju ke Salak Selatan setelah menerima alamat kediaman warga emas tersebut.
Setelah tiba di lokasi, Uncle Kentang dan Albert masing-masing tidak percaya ada penempatan di dalam semak samun tersebut.
Kedatangan Uncle Kentang disambut oleh Uncle Leong dan meskipun tempat tinggalnya hampir roboh namun dia tetap tersenyum ketika menyambut kedatangan tetamu.
Memang Uncle Kentang dan Albert terkejut dan sebak melihat akan keadaan kediaman Uncle Leong malah dia tinggal seorang diri di dalam pondok usang tersebut.
Uncle Kentang kemudiannya memujuk Uncle Leong untuk tinggal sementara di rumah RM1 di Puchong.
Uncle Leong tidak menolak dan menerima pelawaan tersebut dengan hati terbuka.
Kisah Uncle Leong telah mendapat liputan meluas sehingga sampai ke telinga Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa.
Annuar kemudiannya turun ke padang bagi melihat sendiri keadaan kediaman Uncle Leong di Salak Selatan.
Namun, setelah meninjau Annuar tidak dapat menahan sebak setelah melihat keadaan kediaman tersebut dan berjanji untuk memberikan tempat berteduh di Projek Perumahan Rakyat (PPR) kepada Uncle Leong.
Kisah Uncle Leong tidak berakhir di situ setelah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pada keesokan harinya hadir di ibu pejabat Uncle Kentang bagi menyelesaikan masalah kad pengenalan Uncle Leong.
Pihak JPN memaklumkan bahawa Uncle Leong pernah membuat permohonan untuk menukar kad pengenalan baharu namun setelah siap ianya tidak diambil sehingga ke hari ini.
Bagi memudahkan urusan permohonan kad pengenalan baharu Uncle Leong, pasukan dari JPN telah hadir dengan kelengkapan peralatan mereka.
Urusan Uncle Leong dipermudahkan satu demi satu dan Uncle Kentang merakamkan ucapan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang prihatin serta membantu tanpa mengira bangsa, kaum dan agama.