Animasi Balik Kampung Uncle Kentang Selit Unsur Nasihat
Sebuah video animasi yang telah di muat naik oleh Aktivis Masyarakat, Kuan Chee Heng (Uncle Kentang) mendapat reaksi positif dari orang ramai.
Ramai yang kecewa apabila tahun ini sekali lagi rakyat Malaysia tidak dibenarkan merentas negeri bagi menyambut sambutan Aidilfitri bersama keluarga di kampung akibat wabak Covid-19 yang kian merebak.
Saban hari kes positif jangkitan Covid-19 meningkat sehingga mencecah angka 4,519 pada 8 Mei lalu.
Justeru itu, kerajaan telah mengambil langkah dengan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bagi mengekang wabak ini dari terus merebak.
Pengumuman perlaksanaan PKP 3.0 itu menerima pelbagai reaksi yang berbeza dari masyarakat setelah ramai tidak dapat merentas negeri dan daerah masing-masing untuk pulang menyambut syawal bersama keluarga.
Video animasi Uncle Kentang memberikan gambaran bagaimana seorang anak yang pulang menyambut hari raya bersama keluarga di kampung tanpa sedari dirinya adalah seorang pembawa.
Jangkitan Covid-19 memberi kesan buruk kepada warga emas yang mana daya tahan badan mereka tidak sekuat orang muda.
Justeru, pada akhir video Uncle Kentang menyeru orang ramai agar tidak curi-curi pulang ke kampung serta sayangilah ibu ayah dengan menyampaikan kiriman salam bukannya Covid-19.