Berita

‘Penghargaan Untuk Semua’ – Uncle Kentang

“Penghargaan ini bukan untuk saya, tapi buat semua yang membantu menjayakan misi kemanusiaan,” kata Kuan Chee Heng, 58, yang lebih dikenali sebagai ‘Uncle Kentang’.

Aktivis masyarakat itu bakal menerima anugerah ‘Points of Light’ oleh Ratu Elizabeth II di atas usahanya menyantuni golongan memerlukan.

Berkongsi berita gembira itu, Uncle Kentang berkata, beliau menerima emel dan panggilan daripada pihak kedutaan memaklumkan mengenainya pada minggu lalu.

Menurutnya, tidak pernah terlintas di fikiran akan menerima penghargaan sebegitu kerana apa yang dilakukan adalah ikhlas untuk membantu golongan memerlukan.

“Saya berterima kasih kepada seluruh masyarakat di negara ini yang banyak memainkan peranan hebat dalam menjayakan misi kemanusiaan.

“Tanpa mereka, misi itu tidak akan terlaksana kerana apa yang saya lakukan adalah hasil sumbangan semua pihak.

“Saya bukanlah jutawan, hanya orang biasa yang mengharapkan masyarakat sama-sama menyokong membantu golongan kurang berkemampuan,” katanya.

Kelmarin, Uncle Kentang berkongsi mengenai anugerah yang bakal diterima itu kepada pengikut di akaun Facebook miliknya.

Rata-rata warganet gembira dan mengucapkan tahniah serta menganggap penganugerahan itu sewajarnya diberikan kepada beliau.

Kuan berkata, misi kemanusiaan yang dilakukan membuktikan perpaduan kaum di negara ini kerana sumbangan diterima daripada berbilang bangsa tanpa mengira latar belakang, agama dan politik.

Ditanya mengenai harapan dan perancangan selepas ini, katanya, beliau akan meneruskan kerja amal serta menjadikan penghargaan yang bakal diterima itu sebagai suntikan semangat.

Beliau dijadualkan menerima penganugerahan berkenaan di Pejabat Pesuruhjaya Tinggi British di Kuala Lumpur sempena hari lahir Ratu Elizabeth II pada 12 Jun ini.

Sumber
Harian Metro
Lagi paparan

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button