Dari Dapur Kentang Bantu Promosi Peniaga Jalanan

Ramai peniaga terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan terpaksa menutup operasi perniagaan mereka dari 2020 sehingga 2021.
Lebih malang lagi ramai pekerja yang telah dibuang kerja kini terpaksa berniaga di jalanan demi mencari nafkah bagi menyara keluarga.
Malah ramai dikalangan peniaga sendiri mengeluh kerana sukar untuk menjual produk makanan mereka walaupun pelbagai promosi telah dilakukan.
Oleh demikian, aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng yang dikenali sebagai Uncle Kentang turut mendengar keluh kesah para peniaga yang malang ini dan mencari ikhtiar bagi membantu mempromosikan perniagaan mereka.
“Saya telah berbincang dengan pekerja saya untuk mewujudkan sebuah rancangan masakan bagi membantu mempromosikan menu peniaga terjejas di Studio Uncle Kentang tanpa sebarang bayaran.
“Para peniaga ini saya akan bawa ke Studio Uncle Kentang untuk berkongsi resepi ‘killer menu’ sekaligus dapat mempromosikan perniagaan dengan orang ramai.” katanya.
Menurut Uncle Kentang, fokus utama diberikan kepada peniaga berstatus ibu atau bapa tunggal yang membesarkan anak-anak dari hasil berniaga seharian.
“Ramai juga pemilik-pemilik restoran berminat untuk menyertai rancangan Dari Dapur Kentang ini namun, keutamaan kini diberikan kepada peniaga kecil dan jalanan dahulu.
“Saya akan wujudkan segmen lain untuk pemilik-pemilik kedai makan dan restoran untuk mempromosikan makanan mereka di Studio Uncle Kentang.” ujarnya lagi.
Tambah Uncle Kentang, peniaga mestilah memiliki menu masakan sendiri dan bukannya mempromosikan produk segera dan sejuk beku milik orang lain.
Rakaman Dari Dapur Kentang ini akan ditayangkan di youtube Uncle Kentang dan akan dipromosikan sendiri oleh Uncle Kentang melalui media sosial miliknya.
Keutamaan diberikan kepada mereka yang berniaga di Puchong dan Lembah Klang sahaja.
Sekiranya anda memenuhi syarat diatas dan berminat untuk mempromosikan perniagaan kecil anda, sila klik jaringan dibawah ini.