Uncle Kentang Hulur Bantuan Kepada Mangsa Banjir Jelebu
Mangsa banjir di Kampung Puom Kenaboi, Jelebu dapat menarik nafas lega apabila 40 keluarga menerima bantuan dari aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng (Uncle Kentang).
Bantuan tersebut diserahkan kepada Pengerusi, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Abd Ghafar Md Taha di Dewan Kampung Puom, baru-baru ini.
Menurut Abd Ghafar, seramai 40 keluarga terlibat dengan banjir manakala 7 keluarga hilang tempat tinggal setelah kediaman mereka hanyut di bawa arus.
“Pada sebelah pagi saya menghubungi Uncle Kentang dan memohon agar dapat membantu penduduk di sini sekiranya ada barangan makanan atau apa jua keperluan lain.
“Namun saya terperanjat apabila bantuan tiba dari Uncle Kentang pada sebelah petangnya kerana tidak menyangka secepat itu permintaan saya diluluskan.” Katanya.
Tambah Abd Ghafar, rata-rata penduduk di Kampung Puom bekerja sebagai penoreh getah dan petani namun hasil tanaman mereka musnah akibat banjir.
“Selepas banjir melanda, penduduk juga turut mendapat bantuan dari kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO).
“Namun setelah lebih seminggu berlalu, saya khuatir ada dikalangan mangsa banjir yang masih belum ada mata pencarian kehabisan barang dapur.” ujarnya lagi.
Antara bantuan Uncle Kentang kepada mangsa banjir di Kampung Poum, Kenaboi adalah seperti tilam, almari, beras dan pek makanan.