Uncle Kentang Mahu Ubah Minda Rakyat Terhadap ‘Calon Tanpa Beban Politik’
Calon bebas di Puchong, Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang bersedia dengan kekalahan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana bersaing dengan pihak lawan yang hebat dalam politik.
Namun, jelas aktivis kemanusiaan itu, penyertaan beliau sekurang-kurangnya membuka jalan kepada perubahan minda rakyat bahawa calon tanpa parti politik juga mampu membawa suara mereka dan memimpin negara.
“Saya dilahirkan di Malaysia, dan saya rasa terhutang pada Malaysia. Di mana kita kena bersuara, untuk membawa perubahan. Mungkin kali ini kita akan tewas.
“Tidak mengapa kerana kita telah buka satu jalan di mana perubahan minda iaitu bukan sahaja parti politik mewakili mereka, tetapi individu yang tidak ada beban politik harus masuk parlimen boleh memimpin negara berbanding mereka yang berparti politik.
“Saya rasa kalau saya ‘dibaham’ pun, saya telah membuka jalan kepada calon-calon (bebas) lain pada PRU lain supaya masuk ke dalam PRU akan datang,” katanya kepada Astro AWANI semasa berkempen di Medan Selera MPSJ Puchong Perdana di sini pada Ahad.