Uncle Kentang Mahu Bela Nasib Ibu Tunggal Teraniaya, Warga Emas

Calon bebas bagi kerusi parlimen Puchong ini tidak menang tangan membantu penduduk.
Baru sahaja mahu mula berkempen, Kuan Chee Heng bergegas ke Hospital Serdang dengan ambulans pertubuhannya sendiri untuk membawa seorang pengundi yang tiba-tiba sesak nafas.
Muin Mad Jeli, 66, pesakit Orang Kurang Upaya (OKU) fizikal sebelum itu mengadu tidak mempunyai wang saku untuk mendapatkan rawatan kesihatan kerana mengalami tekanan darah tinggi.
Aktivis masyarakat yang mesra dipanggil Uncle Kentang sememagnya tidak asing bagi warga Puchong.
Bagi kempen sebagai calon bebas dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini beliau mahu mengetengahkan nasib ibu tunggal yang teraniaya dan warga emas jika diberi mandat untuk menjadi wakil rakyat.
Menurut Uncle Kentang, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan ekoran pandemik Covid-19 melanda negara, ramai kaum hawa diceraikan tanpa sebarang bantuan.
“Ramai ibu tunggal terpinga-pinga selepas bercerai. Hak tuntutan nafkah ni menjadi satu kerumitan buat mereka yang teraniaya. Tak kira lah beragama Islam ataupun bukan.
“Saya akan bergabung dengan pengamal undang-undang meminta mereka menubuhkan satu divisyen khas untuk membantu mereka yang teraniaya ini menuntut alimoni (nafkah),” katanya ketika ditemui pemberita di Bilik Gerakan Sementara Calon Bebas Uncle Kentang, di Taman Puchong Utama, di sini, baru-baru ini.