Berita

Saya Bukan 5 tahun Sekali Baru Muncul – Uncle Kentang

Calon bebas di Parlimen Puchong, Kuan Chee Heng yang lebih dikenali sebagai Uncle Kentang berkata, beliau membantu rakyat secara konsisten, bukannya hanya muncul “lima tahun sekali”.

Beliau secara berseloroh berkata, dirinya tidak seperti calon lain yang hanya timbul lima tahun sekali ketika musim pilihan raya untuk bertemu rakyat.

“Apa yang banyak kita lihat, kebanyakan ahli politik mendahulukan parti, mereka akan cakap parti dahulu baru rakyat,” katanya menurut Utusan Malaysia.

“Kita bukan lima tahun sekali baru muncul, tapi setiap hari kita ada untuk hulurkan bantuan. Saya pun tak boleh nak kata apa, tapi kita lihat pengundi Puchong (akan) pilih siapa nanti kerana saya ini bukan orang elit nak jumpa di hotel mewah atau padang golf, di kedai mamak pun boleh jumpa.”

Aktivis masyarakat berusia 59 tahun itu mahu memperjuangkan nasib ibu tunggal dan warga emas sebagai agenda utama pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

“Ramai ibu tunggal yang terpinga-pinga selepas mereka bercerai, ditambah pula dengan masalah kerumitan menuntut hak nafkah, tidak kira membabitkan orang Islam atau bukan Islam.

“Ramai nak tuntut harta sepencarian, nafkah anak-anak dan sebagainya, tapi mereka nak makan pun tiada duit, macam mana nak upah peguam dan tambang pengangkutan untuk turun naik mahkamah?” soalnya.

Justeru, katanya, tidak kira apa keputusan pada 19 Nov ini, beliau akan menubuhkan bahagian khas yang dianggotai barisan peguam bagi membantu ibu tunggal menuntut hak mereka.

Beliau berkata, tiba masanya untuk negara mewujudkan dasar membabitkan warga emas kerana Malaysia dijangka mencapai status negara tua menjelang 2030.

“Buat kerja-kerja kebajikan ini patut letak pada JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat), tapi oleh kerana masih ada ruang-ruang yang belum diselesaikan, kita perlu bawa suara mereka ini untuk dibela di Parlimen.”

Ini bukan kali pertama Kuan menyertai pilihan raya. Beliau pernah bertanding sebagai calon bebas ketika pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Semenyih pada Mac 2019, tetapi sekadar meraih 725 undi, tewas kepada calon Barisan Nasional.

Kuan akan berdepan saingan empat penjuru menentang Yeo Bee Yin (Pakatan Harapan), Syed Ibrahim Kader (BN) dan Chew Jyh Gang (Perikatan Nasional) pada PRU15.

Lagi paparan

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button