Uncle Kentang Calon Bebas di Puchong

Aktivis Masyarakat, Kuan Chee Heng, 59, atau lebih dikenali dengan Uncle Kentang yang bertanding sebagai calon bebas di Parlimen Puchong pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tiba dengan menaiki motosikal jenis Kawasaki Versys 650, di sini, pagi ini.
Beliau kemudian bersarapan bersama penyokong yang hadir di sebuah kedai makan berhampiran pusat penamaan calon, Dewan Serbaguna Puchong Indah.
Sebelum berjalan ke pusat penamaan calon, beliau meluangkan masa selama beberapa minit melakukan sembahyang kecil di Tokong Nak Tuk Kung bagi memohon berkat.
Sepanjang berjalan beliau yang dikenali dengan sikap ramah turut menyapa orang ramai dan penyokong daripada parti lawan.
Penyokong beliau, Ahmad Rizmi Mamat, 28, yang ditemui berkata, Uncle Kentang individu yang sentiasa berusaha dan mempunyai inisiatif untuk membantu masyarakat.
“Saya menyokong Uncle Kentang sebab nampak dia punya kerja di kawasan Puchong ini. Dia sedaya upaya mencuba untuk memenuhi kehendak semua pihak. Diakui dia juga manusia biasa, jadi dia ada kekurangan, ada dua tangan. Apa dia mampu bantu, dia bantu. Apa yang dia boleh usaha, kita usaha.
“Saya mula bersama dia sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kedua dulu iaitu sejak saya mula berpindah di kawasan ini.
Sejak itu saya melihat tanggungjawab dia. Jadi, kita dia dia peluang,” katanya
Pesara, Teo Kim Lian, 70, menyifatkan Uncle Kentang seorang yang baik hati.
“Saya sudah lama kenal dia. Dia seorang yang baik hati. Dia banyak tolong orang misikin. Bukan saja di kawasan Puchong ini tapi tempat lain juga. Saya selalu tengok dia kemaskini di Facebook segala aktiviti kebajikan yang dibuat. Kalau boleh kita nak orang macam dia yang memimpin,” katanya.
Beliau sebelum ini pernah bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, namun kalah pada Pilihan Raya Kecil (PRK) tiga tahun lalu.
Kerusi Puchong disandang oleh Gobind Singh Deo (DAP) selama tiga penggal selepas menang pada 2008, 2013 dan 2018.
Pada 2018, Gobind memperoleh majoriti 47,635 undi menewaskan Ang Chin Tat (Gerakan) dan Mohamad Rosharizan Mohd Rozlan (PAS).
DAP bagaimanapun mengumumkan Gobind sebagai calon Parlimen Damansara mewakili Pakatan Harapan (PH) menggantikan penyandang, Tony Pua yang tidak bertanding pada PRU15.
Parti itu meletakkan bekas Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar ketika pentadbiran PH, Yeo Bee Yin di kerusi Puchong.