EV bawah RM100,000 Tak Dibenar Sebelum Kereta Nasional Dilancar

Pasaran automotif Malaysia belum memiliki kereta elektrik (EV) berharga rendah sebagai mana di Thailand dan Indonesia berikutan syarat Permit Diluluskan (AP) Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) yang menetapkan EV di bawah RM100,000 tidak dibenarkan diimport.
Penganalisis RHB Investment Bank Bhd, Jim Lim Khai Xhiang, berkata bank pelaburan itu percaya, syarat yang ditetapkan MITI adalah untuk melindungi jenama nasional iaitu PROTON dan PERODUA, sementara menunggu jenama nasional itu membangunkan EV masing-masing.
Justeru, katanya, EV paling murah di Malaysia masih kekal dimiliki oleh Neta V keluaran Hozon New Energy Automobile yang diedar oleh anak syarikat Go Auto Group Sdn Bhd, Intro Synergy Sdn Bhd yang dijual pada harga RM99,800 (harga atas jalan tanpa insurans).
“Meskipun Wuling Air keluaran Indonesia dijual di Thailand dan Indonesia, masing-masing pada harga RM52,000 dan RM70,000, tiada EV di Malaysia yang dijual pada harga sebegitu rendah.
“Hal ini berpunca daripada syarat AP oleh MITI yang menetapkan bahawa EV yang berharga bawah RM100,000 (harga atas jalan dengan insurans) tidak dibenarkan untuk diimport.
“Kami percaya dasar ini ditetapkan demi melindung jenama nasional sementara syarikat ini membangunkan EV masing-masing,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
Sementara itu, Khai Xhiang berkata, dengan beberapa siri pelancaran model EV baharu, RHB Investment Bank berpendapat Tesla Model Y paling menonjol berikutan harganya menarik dan ia mungkin meningkatkan persaingan dengan jenama lain.
“Meskipun adanya insentif untuk menggalakkan penggunaan EV di Malaysia, buat masa ini tiada EV yang berharga bawah RM100,000 (atas jalan dengan insurans) kerana dasar AP MITI. Meskipun penggunaan EV akan terus berkembang, ia belum mencapai tahap yang dapat meningkatkan jumlah keseluruhan industri (TIV) dengan ketara,” katanya.
Beliau berkata, Tesla menembusi pasaran Malaysia dengan kereta terlarisnya dan ia sudah mula mengambil pesanan untuk Model Y.
Katanya, Model 3 dijangka dilancarkan di Malaysia lewat tahun ini, dengan beberapa sumber berita memetik harga sejumlah RM160,000.
“Memandangkan Tesla terkenal dengan EV dan teknologi pemanduan kendiri, kami berpendapat harga ini menarik. Oleh itu, kehadiran Tesla bukan sahaja dapat meningkatkan penggunaan EV di Malaysia, tetapi ia juga mungkin menjejaskan jualan EV keluaran jenama lain,” katanya.
BYD baru-baru ini melancarkan model Dolphin dengan harga di atas jalan RM100,500. Terdahulu, Hyundai memperkenalkan Ioniq 6 (harga bermula RM290,000), manakala Kia membawakan EV Niro (harga bermula RM256,000 seunit).
“Kami dapati bahawa BYD Dolphin agak popular, tetapi dengan harganya yang sekitar RM100,000, pengguna mungkin masih memilih kereta enjin pembakaran dalaman (ICE). Kami juga berpendapat EV Hyundai dan Kia mungkin menerima sambutan yang hambar, memandangkan Tesla menawarkan pilihan yang lebih menarik,” tambah Khai Xhiang.
Dalam pada itu, Khai Xhiang berkata, meskipun prestasi 2023 mungkin memecah rekod baharu dalam TIV, gambaran untuk 2024 yang tidak menentu menjejas sentimen terhadap sektor automotif.
“Oleh sebab kami menjangka jualan kereta bakal menurun tahun ke tahun pada 2024, kami kekal ‘neutral’ terhadap sektor ini.
“Kami juga berpendapat ramalan prestasi tahun ini yang kukuh sudah diambil kira dalam harga saham. Risiko negatif utama adalah membabitkan pesanan dan penghantaran lebih rendah daripada jangkaan, dan kemunculan semula masalah rantai bekalan,” katanya.
Persatuan Automotif Malaysia (MAA) baru-baru ini menaikkan unjuran TIV bagi keseluruhan 2023 kepada 725,000 unit berbanding unjuran sebelum ini 650,000 unit.
Unjuran baharu itu berikutan jualan kenderaan bermotor baharu terus berkembang kukuh pada separuh pertama 2023, dengan TIV meningkat 10.3 peratus kepada 366,037 unit berbanding 331,746 unit dalam tempoh sama 2022.
Tahun lalu, industri automotif negara merekodkan TIV tertinggi dalam sejarah apabila menjual 720,658 unit, meskipun berdepan pelbagai cabaran luaran dan domestik.