Ulasan OPPO Find N3 – Telefon Lipat Ada Segalanya Pada Harga T20
Telefon lipat bukanlah suatu perkara yang aneh malah dianggap sebagai barangan futuristik. Pelbagai jenama peranti terkenal berusaha untuk menghasilkan telefon lipat yang berkualiti kepada pengguna termasuk OPPO. OPPO telah melancarkan OPPO Find N3 dengan cipset Snapdragon 8 Gen 2 dengan beberapa peningkatan berbanding model sebelumnya.
Untuk pengetahuan anda, ini merupakan varian Find N pertama yang dilancarkan secara global kerana sebelum ini, peranti Find N hanya eksklusif di China. Di bawah adalah semua perkara yang anda perlu tahu daripada segi reka bentuk, prestasi dan perkara-perkara menarik yang lain.
Reka bentuk – Selesa secara ergonomik, bergaya dan mewah
Walaupun kebanyakan telefon lipat kelihatan hampir serupa, terdapat pelbagai perbezaan daripada segi dalaman dan luaran. OPPO Find N3 membawa skrin utama AMOLED 7.8 inci yang cukup luas untuk tontonan. Kesan lipatan tidak kelihatan ketika tontonan atau ketika melakukan kerja. Namun, jika anda melihat dengan teliti pada skrin, anda boleh melihat kesan lipatan tetapi tidak terlalu jelas.
Ia meliputi hampir kesemua skrin dengan bezel yang sangat nipis. Di bahagian kelilingnya meliputi rangka berwarna hitam bagi mengelakkan hentakan yang kuat dan melindungi skrin dalaman ketika menutup telefon. Terdapat satu kamera swafoto 20MP di penjuru atas kanan untuk persidangan video dan tangkapan gambar yang luas.
Beralih kepada skrin luaran, ia menampilkan panel AMOLED 6.3 inci seperti kebanyakan telefon pintar biasa. Bezel di bahagian sisi kanan, kiri dan atas agak nipis tetapi di bahagian bawah kelihatan agak tebal. Namun, ini bukanlah satu gangguan kerana skrin dalaman sudah cukup bagus sekiranya anda ingin melakukan kerja. Kamera swafoto 32MP di bahagian atas tengah pula membantu anda untuk menangkap gambar dalam satu pegangan.
Apabila ia tidak dilipat, ketebalan peranti ini sudah cukup bagus seperti telefon pintar biasa. Namun, ia agak tebal apabila dilipat menjadikan ia kurang selesa dipegang terutamanya ketika ingin mengambil gambar pada kamera swafoto. Mungkin juga disebabkan tangan saya yang agak kecil, tetapi saya mencadangkan agar OPPO boleh menjadikannya lebih nipis untuk Find N yang seterusnya.
Dalam pada itu, anda akan dapati Find N3 akan tertutup rapat dan tidak meninggalkan ruang langsung apabila dilipat. Ini cukup mengagumkan kerana masih terdapat banyak jenama yang berusaha untuk membangunkan telefon lipat yang tertutup rapat tanpa memberi sebarang kesan kepada skrin.
Keselesaan dan keyakinan adalah sangat penting berikutan bentuk yang unik dan berisiko tinggi terhadap kerosakan skrin fleksibel dan engsel. Dalam hal ini, reka bentuk belakang berstruktur OPPO Find N3 dan rangkanya menawarkan cengkaman yang kukuh dan lembut menjadikan ia selesa ketika dipegang.
Di bahagian belakang, ia membawa warna Champagne Gold memberikan karakter yang elegan dengan rangka logam rata. Kesan cap jari masih kelihatan tapi tidak terlalu jelas. Panel belakang turut menempatkan tri-kamera dalam reka bentuk cincin kosmos yang menonjol dan tebal tetapi masih membawa rupa estetika.
Disebabkan kualiti imej yang dihasilkan sangat mengagumkan, maka saya memahami bonggol kamera yang menonjol tetapi di masa hadapan, ini mungkin boleh diubah. Walau bagaimanapun, penempatan lampu flash LED di sudut telefon agak kurang sesuai dan boleh disatukan dalam cincin kamera.
Selain itu, telefon lipat ini tidak terlalu ringan dan tidak terlalu berat seperti telefon biasa. Walaupun berat sesebuah peranti tidak dipandang berat oleh sesetengah pengguna, ia sebenarnya dapat membantu mengurangkan tekanan pada tangan anda, menjadikan ia kurang kemungkinan untuk jatuh secara tidak sengaja dan kestabilan cengkaman. Di bahagian ini, saya bersetuju bahawa OPPO mengambil berat daripada semua aspek termasuk berat peranti ini.
Dalam pada itu, engsel peranti memainkan peranan penting dalam meningkatkan kegunaan telefon, membenarkan cara baru untuk memegang peranti dengan stabil. Terdapat dua cara untuk anda menggunakan OPPO Find N3 tanpa dipegang, sama ada meletakkannya di atas meja seperti komputer riba mini atau mendirikannya seperti tripod. Ini menunjukkan engsel Find N3 cukup kuat untuk menyokong skrin dalaman daripada tertutup tanpa sebarang bantuan daripada barangan lain.
Kemudian, di bahagian keliling peranti terdapat butang kuasa, audio dan alert slider di bahagian kanan, dua pembesar suara di bahagian atas dan bawah serta port USB-C dan slot kad-SIM di bahagian bawah. Kedudukan kesemua butang yang disebut di atas adalah ketika telefon dalam keadaan dilipat. Kotak pembelian pula memberikan anda kabel pengecas USB-C, pengecas 67W, pin SIM, dokumen dan sarung pelindung OPPO Find N3. Sebagai telefon flagship, ini sudah cukup bagus melainkan anda menginginkan aksesori lain.