Berita

Tempah Ambulans Dapat Sambung Elektrik

Kisah seorang suami yang berhenti kerja bagi menjaga isterinya yang sakit terlantar kali ini mendapat perhatian aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng (Uncle Kentang) ketika menerima pesanan ringkas dari aplikasi Whatsapp.

Zaidi Bajuri mengambil keputusan berhenti dari kerja setelah sakit kencing manis yang dihidapi isterinya semakin serius.

Wang simpanan telah habis digunakan bagi membeli ubat-ubatan, lampin dewasa dan susu buat isterinya.

Lebih malang lagi, setelah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan oleh kerajaan pada 18 Mac lalu menyukarkan Zaidi untuk mencari pekerjaan.

Zaidi kini tinggal dalam kegelapan setelah bil elektrik tertunggak selama berbulan-bulan sebelum PKP dikuatkuasakan lagi.

Namun bagi Zaidi tinggal dalam kegelapan bukanlah masalah besar bagi dirinya dan isteri kerana pada masa itu ubat-ubatan isterinya diberi keutamaan.

Pelbagai peralatan elektrik dirumah telah dijual termasuk televisen, peti sejuk dan mesin basuh bagi menampung keperluan hidup mereka berdua.

Dua orang anaknya yang masih bersekolah kini tinggal sementara bersama ibu dan bapa mertuanya di Kampung Padang Balang, Sentul.

Kesihatan isterinya makin terjejas teruk serta perlukan rawatan susulan di Hospital Selayang dengan kerap.

Zaidi terpaksa membawa isterinya menerima rawatan dengan menaiki Grab atau teksi.

Menurut Zaidi lagi, sekiranya isterinya ditahan wad untuk rawatan, dia akan berulang alik dari PPR Baiduri, Selayang ke Hospital Selayang berjalan kaki.

Zaidi tidak mempunyai kenderaan dan kadang kala jiran tetangga bantu membawanya ke hospital.

Atas nasihat rakan-rakan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) bloknya Zaidi hubungi Uncle Kentang bagi mendapatkan perkhidmatan ambulans untuk membawa isterinya ke Hospital Selayang.

Namun siapa sangka dengan hanya meminta perkhidmatan ambulans, Uncle Kentang turut menawarkan untuk menyambung semula bekalan elektrik dirumahnya.

Malah tidak sampai 24 jam, proses penyambungan semula bekalan elektrik oleh Tenaga Nasional Berhad sudah dilakukan.

Usaha murni ini tidak akan berlaku sekiranya tidak mendapat sokongan dari rakyat Malaysia.

Usaha murni mereka yang menyumbang dapat memberikan sinar baharu buat keluarga ini.

Lagi paparan

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button