“Belajar Rajin-Rajin dan Jadilah Insan Berguna” – Uncle Kentang

Satu pagi saya terima panggilan dari seorang ibu yang kini berada dari Gelang Patah, Johor bagi merayu bantuan yuran pengajian anaknya.
Ketika di dalam talian, ibu yang dikenali sebagai Yati menceritakan kesusahan dialami oleh keluarganya.
Menurut Yati sebelum Perintah Kawalan Pergerakan dia berniaga nasi berlauk di kawasan kejiranannya.
Namun, punca pendapatannya hilang akibat PKP yang diumumkan oleh kerajaan pada tahun lalu bagi mengekang wabak Covid-19.
Tambah Yati, anak lelakinya mendapat tawaran belajar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) namun, mereka sekeluarga sudah tiada simpanan lagi bagi membayar yuran pengajian.
Lebih merunsingkan Yati dan suami apabila perlu mencari pakaian dan laptop baharu untuk anak mereka di UKM nanti.
Saya berkata kepada Yati bahawa tidak perlu bimbang kerana yuran pendaftaran pengajian dan laptop baharu akan ditanggung sepenuhnya oleh saya.
Tiba-tiba Yati menangis teresak-esak di dalam talian dan tidak henti-henti mengucapkan terima kasih.
Saya berkata kepada Yati bahawa takdir tuhan telah menemukan kita mungkin juga ianya satu balasan baik kepada dia yang selama ini memelihara kucing dan anjing jalanan.
Tidak lama kemudian saya telah turun sendiri ke Gelang Patah bersama sahabat karib saya Tok Jack bagi bertemu dan menghantar sendiri laptop kepada anak Yati.
Sempat juga saya melawat rumah kucing dan anjing dikawasan rumah Yati.
Malah ada beberapa ekor anjing liar yang datang pada petang itu untuk meminta makanan dengan Yati.
Begitu baiknya Yati terhadap haiwan-haiwan ini sehingga sanggup berkongsi makanan yang ada agar tidak kelaparan.
Baru-baru ini Yati dan keluarga sempat berjumpa dengan saya di Puchong Utama ketika agihan roti pratha dan ikan patin kepada orang ramai.
Sopan santun anak lelakinya ketika bertemu dan saya hulurkan sedikit wang saku untuk perbelanjaannya di UKM nanti.
Saya beritahu kepada anak Yati agar belajarlah rajin-rajin dan jadilah insan berguna kepada masyarakat dan anaknya tersenyum serta mengangguk tanda faham.
Setelah itu saya meminta dua orang pegawai dari pejabat Uncle Kentang untuk menghantar Yati dan anaknya ke UKM untuk urusan pendaftaran.
