Coretan

Berdosakah Jika Pelacur Bersedekah?

Kisah ini adalah berdasarkan kisah benar yang saya lalui dan jika ada yang berkesempatan menyaksikan sesi live di Facebook pagi tadi ianya adalah sebagai iktibar buat kita.

Aktiviti pelacuran sememangnya salah dari sisi agama dan undang-undang malah saya juga tidak menghalalkan perbuatan terkutuk itu.

Sebagai orang yang lebih berusia saya berpendapat wanita seharusnya dilindungi oleh semua pihak dan bukan hanya lelaki sahaja.

Saya pernah berinteraksi dengan beberapa pelacur yang pernah menyerahkan derma. Dia menyoal saya sama ada dermanya itu bersih atau tidak?

Saya memberitahunya sedekah kamu itu bersih kerana ianya datang dari niat yang baik. Soal pahala atau dosa itu adalah urusan Tuhan dan siapa kita untuk mempertikaikannya?

Jika kita lihat dari pekerjaannya sebagai pelacur sememangnya ia salah namun disebalik cerita hitam yang dilalui oleh wanita ini sangat menyedihkan.

Wanita ini mempunyai dua orang anak istimewa namun secara tiba-tiba suaminya telah meninggalkan mereka tiga beranak tanpa nafkah.

Wanita dalam kesusahan ini boleh sahaja mengambil jalan mudah dengan menyerahkan dua orang anaknya kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) namun, naluri sebagai seorang ibu yang ada dalam dirinya cukup kuat.

Dia tekad untuk menjaga dan membesarkan dua orang anaknya dan terpaksa mencari jalan mudah dengan melakukan pekerjaan yang dilarang dalam agama serta undang-undang Malaysia.

Jika kita nilai semula dari segi nilai kemanusiaan bagi menjaga dua orang anak istimewa memerlukan sekurang-kurangnya RM2,600 sekiranya dihantar ke sekolah pendidikan khas.

Saya sering bertemu dengan wanita tersebut kerana dia selalu menghulurkan bantuan tin biskut dan barang makanan untuk diagihkan kepada keluarga asnaf.

Setiap kali dia menyerahkan sumbangan air matanya sering berguguran dan saya faham akan situasi yang dihadapinya.

Orang sekeliling sering mengeji wanita tersebut kerana pekerjaannya sebagai seorang pelacur namun, sebaliknya saya pula memandang ia dari nilai kemanusiaan.

Wanita ini terpaksa melakukan pekerjaan terkutuk itu kerana dia ingin membesarkan dua orang zuriatnya setelah tanggungjawab yang sepatutnya dipikul oleh si suami kini terpaksa dipikul olehnya.

Maka saya berpendapat wanita ini lebih mulia daripada mana-mana orang yang selalu mengeji dan menghinanya kerana bekerja sebagai pelacur.

Dalam keadaan tertekan dan tiada pelajaran, wanita tersebut terpaksa memilih jalan hitam demi menyara dua orang anaknya serta kelangsungan hidup mereka sekeluarga.

Apakah masyarakat kita lebih mudah menjatuhkan hukum berbanding melihat dari sudut lain akan kesengsaraan yang terpaksa ditanggung oleh ibu malang ini?

Percaya atau tidak, setiap kali perjumpaan kami yang singkat ketika dia memberikan bantuan tin-tin biskut dan barang makanan wanita tersebut sering meminta maaf kepada saya tanpa sebab.

Saya yakin ramai akan mengutuk kenyataan ini kerana mempertahan kegiatan maksiat, namun saya tegaskan di sini bahawa saya tidak menyokong aktiviti tersebut.

Jika boleh saya mahu bantu mereka yang terjebak dengan kegiatan sedemikian, namun masyarakat lebih suka mengutuk dan memandang sinis kepada mereka ini.

Siapa sangka wanita yang sering di hina kini memiliki perniagaan sendiri malah dapat membesarkan dua orang anaknya di depan mata.

Wanita ini turut membuka kelas serta menjadi guru kepada mereka yang berminat menjadi tukang urut profesional sebagai kerjaya.

Selain itu, dia kini menjadi seorang bidan urut kepada ibu yang berpantang dan perniagaannya agak terkemuka di Kuala Lumpur.

Kini beliau telah berjaya menjadi seorang usahawan wanita serta membuka kelas bagi membantu anak-muda muda mencipta kerjaya di masa hadapan.

Saya menasihati lelaki diluar sana, Tuhan telah mencipta kita dengan kudrat yang kuat namun, ianya merupakan tanggungjawab seorang lelaki bagi melindungi serta membantu wanita yang lemah bukan menindas mereka.

Oleh itu janganlah kita terlalu cepat menjatuhkan hukum dan membuka aib orang lain kerana akibat kesempitan adakalanya mereka terpaksa pilih pekerjaan terkutuk demi kelangsungan hidup.

Ada juga wanita Cina juga merupakan seorang pelacur ketika menyerahkan sumbangan dia bertanyakan kepada saya sama ada dermanya itu halal atau sebaliknya.

Saya menjelaskan kepada dia mengapa pula tidak halal dengan dermanya kerana Tuhan sahaja dapat menilai niat dan hati seseorang.

Kisahnya hampir sama kerana tiba-tiba ditinggalkan suami dan hilang tempat bergantung. Terpaksa memilih jalan singkat demi kelangsungan hidup.

Sekali lagi saya menegaskan bahawa aktiviti pelacuran adalah salah dan bukan ingin menghalalkan kegiatan yang dilakukan oleh wanita berkenaan sebaliknya ingin mengangkatnya dikalangan manusia.

Dari seorang wanita yang hebat kerana berjaya menghantar dua orang anaknya ke sekolah pendidikan khas malah kini dia merupakan seorang aktivis dalam bidang urutan dengan membantu orang lain.

Saya tidak perlu menyebut namanya di sini demi menjaga aib kerana kami mengenali diantara satu sama lain serta bagaimana saya menyokong moral ketika dia sedang berhempas pulas dengan halal dan haram, dosa dan pahala malah agama dan kelangsungan hidup.

Daripada Abu Hurairah radiallahu ‘anhu, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: Seorang wanita pelacur diampuni oleh Allah. Wanita itu lalu berhampiran seekor anjing di sebuah perigi. Anjing itu hampir mati kerana kelaparan. Lalu wanita itu menanggalkan seliparnya, kemudian mengikatnya dengan tudung kepalanya, lalu mengambil air untuk anjing tersebut. Wanita itu diampuni kerana hal tersebut.

Kita baca, kita hafal tetapi kita tidak beramal sebaliknya kita cepat melatah, menghukum malah melihat seseorang itu kononnya kita lebih baik daripadanya, kononnya kita lebih beriman daripadanya, kononnya kita lebih tinggi nilai agama daripada mereka.

Justeru saya menyeru kawan-kawan yang ada di dunia sementara ini, ingatlah sebelum nyawa kita diambil dan dijemput pulang ke alam abadi marilah kita kurangkan dosa sebaliknya kumpullah pahala sebanyak mungkin.

Saya merayu kepada wanita diluar sana, agar tidak menjebakkan diri dalam aktiviti pelacuran. Sekiranya kamu menghadapi kesukaran sila hubungi saya dan kita sama-sama dapat berbincang agar dapat mencari jalan keluar dari masalah yang dihadapi.

Saya bukanlah seorang yang kaya tetapi kita sama-sama mencari solusi untuk anda supaya dunia ini lebih indah dan dapat membuatkan hidup menjadi lebih bahagia dan berwarna.

Jangan kita kata beragama tetapi kita cepat menghukum, jangan kata kita beragama tetapi kita cepat melepaskan mereka yang memerlukan pertolongan.

Saya telah lama melakukan kerja-kerja kebajikan ini bukanlah mahu mencari publisiti murahan tetapi atas tuntutan agama kerana sesiapa yang mempermudahkan urusan orang lain, pasti Tuhan akan mempermudahkan urusannya.

Akhir kata, saya memohon maaf sekiranya menyakitkan hati tuan-tuan atau membidas mereka yang menghukum sebaliknya perkongsian ini bertujuan untuk menjadi tauladan agar kita menjadi manusia terbaik dengan membawa amalan di dunia untuk akhirat.

Lagi paparan

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Pilihan pembaca
Close
Back to top button