Air Mata Uncle Kentang Gugur Di Pinggiran Putra
Permohonan seorang ibu tunggal untuk mendapatkan bantuan barang makanan daripada aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng (Uncle Kentang) mendapat perhatian beliau.
Ibu tunggal tersebut kehilangan tempat bergantung setelah suaminya telah meninggal dunia dan hanya mengharapkan gaji harian yang tidak seberapa bagi membesarkan dua orang anaknya.
Kehadiran Uncle Kentang sememangnya ditunggu-tunggu oleh ibu tunggal tersebut dan setelah menerima sumbangan dia tidak henti-henti ucapkan terima kasih kepada Uncle Kentang.
Melihat keadaan daif keluarga tersebut Uncle Kentang tidak dapat menahan sebak, memandangkan keadaan anak-anaknya yang masih kecil dan kesukaran dilalui mereka sekeluarga.
Namun begitu, Uncle Kentang tetap memberikan kata-kata semangat kepada anak-anaknya agar belajar bersungguh-sungguh demi mengubah nasib keluarga mereka.
Dua orang anaknya masih bersekolah di sekolah rendah dan menggunakan perkhidmatan bas untuk ke sekolah.
Namun terdapat tunggakkan yuran bas sekolah yang turut dibantu oleh Uncle Kentang agar anak-anak tersebut dapat ke sekolah tanpa sebarang masalah.
Menurut Uncle Kentang lagi, bantuan kepada keluarga ini akan berterusan agar mereka dapat menjalani kehidupan yang lebih baik di masa hadapan.
Jirannya juga banyak membantu bagi meringankan beban yang dihadapi oleh ibu tunggal tersebut sebelum ini.
Inilah semangat kejiranan yang perlu ada pada setiap individu agar dapat membantu antara satu sama lain.